Monday, August 23, 2010

Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas

JOHOR BAHRU 22 Julai – Dari tong sampah ke semak sehinggalah dalam sungai, gejala buang bayi terus berlaku.

Terbaru pagi ini, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini.

Seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi Jalan Persiaran Mutiara Emas di sini mengesyaki sesuatu apabila melihat beg itu bergerak-gerak lalu menghampirinya.

Menurut wanita berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu, dia memberanikan diri membuka beg tersebut dan alangkah terkejutnya apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalamnya.

Bayi malang yang ditemui pukul 6.40 pagi itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, bayi itu berkulit cerah tetapi keturunannya masih belum dapat disahkan.

“Kita percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan awal pagi ini sebelum diletakkan dalam sebuah beg berhampiran hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 bagi membantu siasatan.

Pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat membuang bayi tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment