Tuesday, November 2, 2010

‘Dolar seperti tisu tandas’– Dr. M

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD Bekas Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Penggunaan dinar emas perlu dipertimbangkan oleh semua kerajaan negara dunia kerana kestabilan nilainya berbanding penggunaan mata wang yang tidak menentu naik turunnya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang

Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik.

“Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, dinar emas tidak sesuai untuk digunakan dalam urus niaga runcit seperti mana hasrat Kerajaan Kelantan yang mahu menggunakan dinar emas dalam transaksi jual beli.

Mengulas lanjut kata beliau, penyusutan nilai dolar AS pada ketika ini menjadi satu masalah yang cukup besar kepada negara-negara yang menyimpan dan bergantung kepada nilai mata wang itu.

“Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, pasti akan ada perang mata wang dan sudah tentu, menyumbang kepada krisis,” katanya.

Beliau tetap berpegang bahawa emas mempunyai nilai kukuh dan merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

“Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa,” kata Dr. Mahathir.

Terdahulu dalam ucaptamanya, negara-negara Islam mesti membangunkan pengurusan sistem kewangan Islam yang berhemat. Ia mesti lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada, yang mampu menampung kejutan dan tidak dimanipulasi penyangak.

Dengan peserta industri mencari jalan untuk mencergaskan kewangan, sistem kewangan global sendiri amat memerlukan pengurusan yang sempurna, katanya.

“Saya jangka kewangan Islam akan berkembang, tetapi cabarannya ialah pengurusan berhemat dan sistem yang lebih baik. Jangan ikut sistem konvensional yang berurusan dalam segala bidang,” katanya.

Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS sebagai mata wang global untuk perdagangan.

- Sumber : Utusan Online

Monday, August 30, 2010

Doa untuk bukan Muslim

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang 'dikecohkan' sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salah faham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh Umno yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya "malu") dengan fatwa Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan Muslim, saya jawab, saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut.

SMS beliau kepada saya: "Apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?"

Setelah mendapat SMS itu saya cuba mencari kenyataan Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain, di luar apa yang saya faham.

Perkataan "sejahtera" itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut:

Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu.


Harussani bukan lemah seperti saya

Adapun Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh - bukan lemah seperti saya - dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

Pandangan agama yang membabitkan hal bukan Muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam.

Kita memberitahu dunia "Islam adalah agama yang rahmat". Pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan, terutama di media-media kerajaan, "assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam".

Walaupun Nabi SAW - seperti riwayat al-Bukhari - dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim, baginda hanya mengucapkan "assalamualaikum" sahaja. Perkataan "assalamualaikum" itu memang bermaksud "kesejahteraan ke atas kamu".

Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan "salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam". Tidakkah "salam sejahtera kepada bukan beragama Islam" itu satu doa untuk mereka?

Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru "Salam 1Malaysia" juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim. Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: Janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

Nabi jampi orang gila bukan Muslim

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan Muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas.

Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

Kata Abdullah bin Mas'ud: "Aku seakan masih melihat Rasulullah SAW menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi AS yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi SAW pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan Muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing.

Nabi SAW bersabda kepada sahabat tersebut: "Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar".

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan Muslim.

Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan Muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan Muslim yang bermusuh dengan Islam.

Permainan politik

Firman Allah, maksudnya: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu Muslim atau bukan Muslim.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan" (Surah Hud: 113).

Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik.

Sebab itu 'Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama: "Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil" (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredaan sesuatu pihak semata-mata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan Muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau perincian.

Cina rajin dan kaya

Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda? Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman?

Jika seorang pemimpin Muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan mereka?

Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan Muslim menerima Islam ini. Orang Cina khususnya, mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh.

Jika Nabi SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab". (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

- Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Tahukah anda tentang simbol negara kita?

Berapa ramaikah daripada kita yang berasa marah atau mengambil kisah apabila penunjuk perasaan membakar Jalur Gemilang di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta Isnin lepas?

Apakah persamaan yang terdapat pada Jalur Gemilang, Bunga Raya, Lagu Negaraku, Harimau, Proton, Tugu Negara dan Jata Negara?

Kebanyakan kita tahu bahawa Jalur Gemilang dan Negaraku adalah bendera dan lagu kebangsaan negara ini, tetapi tidak banyak anak muda yang sedar bahawa Bunga Raya dan harimau juga menjadi simbol negara kita.

Jika kita amati, kebanyakan organisasi besar dan sektor swasta menggunakan simbol itu dalam logo mereka seperti Proton, Maybank, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Filem Negara Malaysia.

Sayangnya, setelah usia kemerdekaan negara kita mencapai 53 tahun Selasa ini, masih banyak rakyat Malaysia yang belum sedar tentang erti sebenar serta benda-benda yang menjadi simbol negara ini.

Sebanyak manakah rakyat Malaysia yang sedar bahawa Jalur Gemilang, Jata Negara, Lagu Negaraku, Bunga Raya, Tugu Negara, Bahasa Melayu, Proton Saga, Rukun Negara, Harimau dan Masjid Negara adalah sebahagian daripada simbol negara kita?

Semua simbol itu mencerminkan identiti negara, yang bukan sahaja masih samar dalam kalangan genersi muda, tetapi juga sesetengah orang dewasa dan organisasi berkaitan yang sepatutnya lebih tahu mengenainya.

Bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu, kereta nasional pertama Proton Saga, Tugu Negara dan Masjid Negara tidak begitu diambil peduli oleh generasi muda.

Jangan terkejut jika dikatakan bahawa ada rakyat negara ini tidak sedar bahawa harimau adalah antara simbol Malaysia.

Apa yang amat mengejutkan ialah apabila dihubungi, ada pegawai dan ahli akademik yang bertanggungjawab tentang perkara berkaitan warisan dan sejarah negara ini membayangkan mereka tidak pasti sama ada haiwan itu menjadi simbol negara.

Dalam perutusan beliau bersempena pelancaran Rancangan Harimau Kebangsaan Malaysia 2008-2020, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas berkata harimau dipilih menjadi simbol Malaysia dengan harapan ia akan melindungi negara ini.

"Ini digambarkan oleh dua ekor harimau yang mengapit lambang Malaysia dalam keadaan sentiasa bersiap siaga," katanya.

Bercakap tentang penghayatan terhadap identiti negara, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil berkata generasi muda hari ini tidak akrab dengan simbol berkenaan.

Katanya semua simbol ini melambangkan perpaduan, keamanan dan sejarah negara, yang masing-masing mempunyai sejarah di sebaliknya.

"Bukan mudah untuk diiktiraf sebagai simbol sesebuah negara kerana prosesnya mungkin mengambil masa bertahun-tahun," katanya dalam temu bual ekslusif dengan Bernama baru-baru ini.

Sebagai contoh, kata beliau, bunga rasmi negara, Bunga Raya, dipilih selepas diadakan pertandingan yang melibatkan banyak bunga lain, termasuk orkid.

Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak menghayati dan enggan menghargai nilai yang tersirat di sebalik simbol ini.

"Malah, ada antara mereka yang tidak tahu bahawa Bunga Raya mempunyai lima kelopak," katanya.

Ditanya sama ada sukatan pelajaran sekolah sekarang adalah mencukupi untuk membolehkan pelajar mengetahui dan menghargai simbol negara, Sidek berkata ia memang mencukupi, tetapi hasilnya banyak bergantung pada cara bagaimana ia disampaikan oleh guru kepada murid.

"Kalau selama ini guru yang memberi penjelasan kepada pelajar, cuba buat perubahan dengan meminta murid pula bercakap tentangnya agar mereka lebih memahami erti dan sejarah di sebalik sesuatu simbol itu," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pendedahan tentang semua simbol yang amat bernilai itu tidak seharusnya dilakukan melalui alam persekolahan semata-mata, tetapi perlu dilaksanakan secara berterusan termasuk di tempat kerja, restoran dan malah, di hotel.

"Seperti yang anda nampak sekarang, kebanyakan restoran makanan segera mempamerkan budaya Amerika melalui gambar koboi yang digantung di merata dinding. Saya rasa, inilah caranya Barat menjajah minda kita.

"Kesedaran perlu diwujudkan di mana saja...di sekolah, universiti, tempat kerja, restoran dan malah, di hotel," kata Sidek.

- Bernama

Tuesday, August 24, 2010

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Yang Bangkitkan Sensitiviti Kaum, Agama - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengancam keharmonian dengan cara membangkitkan sensitiviti kaum dan agama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata walaupun laporan mengatakan isu tersebut tidak begitu ketara di peringkat bawahan tetapi ia perlu dibendung supaya keselesaan rakyat terjamin.

"Laporan yang saya terima tidak melihat satu keadaan yang tegang dan membimbangkan, tetapi dalam hal ini, dari dulu lagi saya telah tunjukkan bahawa kita ambil tindakan yang tegas.

"Saya memang tak suka dan tak akan benarkan perkara-perkara sebegini mengeruhkan keadaan," katanya ketika diminta mengulas kejadian sebuah surau baru di Taman Impian Pulai Impian, Temiang, Seremban yang disimbah cat merah pada awal pagi tadi.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada golongan ibu tunggal dan anak yatim di sini malam ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan semua ketua polis negeri telah diarah supaya bertindak sekiranya berlaku keadaan yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada rakyat oleh mana-mana individu atau kumpulan tertentu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat usaha, sama ada dirancang atau secara kebetulan, yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah-belahkan keharmonian kaum di negara ini.

"Cuma dalam siasatan (yang dilakukan), kita kena pastikan tidak ada mana-mana pihak yang dianiaya," katanya.

Hishammuddin turut ditanya sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa kawasan di negeri itu baru-baru ini.

Katanya, perkara itu susah untuk dikatakan tetapi dalam soal yang menyentuh agama, semua pihak perlu bertindak secara rasional dan bijaksana kerana apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang unik, kerana suasana seumpama itu pernah dilalui sebelum ini.

"Jadi, dalam hal ini, saya percaya pihak berkuasa mampu memastikan bahawa keselamatan akan terjamin, orang ramai akan berada dalam keadaan selesa dan pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Beliau turut mengulas cadangan khatib yang membacakan khutbah Jumaat tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mempesarkan isu itu, sedangkan polis telah menubuhkan pasukan khas untuk melakukan siasatan.

Hishammuddin berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan siapa yang bercakap benar.

Katanya, sudah menjadi tugas polis untuk menyiasat sekiranya laporan telah dibuat kerana hanya dengan siasatan yang terperinci, berani dan telus serta tidak condong kepada mana-mana pihak, barulah sesuatu kebenaran itu dapat diketahui.

"Jadi, biarlah ia berjalan dalam proses biasa...kita nak siasat kerana nak tahu apa yang sebenarnya berlaku, kerana dalam kes ini, ada yang menyokong, ada yang kata fitnah, disalah erti, dan ada yang kata ia disalah lapor," katanya.

-- BERNAMA

Monday, August 23, 2010

Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas

JOHOR BAHRU 22 Julai – Dari tong sampah ke semak sehinggalah dalam sungai, gejala buang bayi terus berlaku.

Terbaru pagi ini, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini.

Seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi Jalan Persiaran Mutiara Emas di sini mengesyaki sesuatu apabila melihat beg itu bergerak-gerak lalu menghampirinya.

Menurut wanita berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu, dia memberanikan diri membuka beg tersebut dan alangkah terkejutnya apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalamnya.

Bayi malang yang ditemui pukul 6.40 pagi itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, bayi itu berkulit cerah tetapi keturunannya masih belum dapat disahkan.

“Kita percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan awal pagi ini sebelum diletakkan dalam sebuah beg berhampiran hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 bagi membantu siasatan.

Pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat membuang bayi tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pemain kriket dilarang guna Twitter, Facebook

ENGLAND: Pemain kriket England mungkin tidak dibenarkan menggunakan laman web sosial, Twitter dan Facebook.

Graeme Swann, James Anderson, Kevin Pietersen dan Steven Finn mempunyai jumlah pengikut yang ramai di laman Twitter dan menarik hampir 150,000 peminat.


Anderson dan Swann sering berlumba-lumba meningkatkan jumlah pengikut manakala Pietersen mula sering menghantar mesej sebelum keluar dari kediamannya.


Tetapi ketika pemain melihat aktiviti itu sebagai sesuatu yang tidak mengganggu selain menjalin hubungan baik dengan penaja, pengurusan pasukan pula mahu mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan bagi memantapkan persembahan.


Pengurus England percaya laman web sosial seperti Twitter boleh diguna sebagai tempat mendedahkan rahsia pasukan sekali gus bimbang ia menjadi bualan awam.


Sebelum ini, dua pemain Yorkshire, Tim Bresnan dan Azeem Rafiq didapati bersalah kerana mendedahkan masalah pasukan kepada umum menerusi Twitter.


Dalam kes Rafiq, pemain berusia 19 tahun itu digugur daripada pertemuan menentang Sri Lanka selepas memburukkan jurulatih, John Abrahams dan turut dikenakan denda oleh pasukannya.


Bagi pihak Twitter, Penasihat Persatuan Kriket Profesional tidak menghalang penggunaan laman web sosial seperti itu.


Bagaimanapun, pengurusan skuad England sambil disokong kapten pasukan, Andrew Strauss menambah satu peraturan dalam kontrak baru bagi musim 2010-11 yang menghalang pemain melayari laman web Twitter sepanjang terbabit dengan kem latihan pusat.


Kontrak itu turut menyebut jika mahu layak menandatangani kontrak bersama England, pemain perlu menjadi ahli kelab daerah sekali gus memaksa Pietersen mencari kediaman baru yang mempunyai kelab seumpama itu. - Agensi

Ramadhan 1431 H

Salam Ramadhan untuk semua umat islam. Ramadan ini merupakan bulan terbaik untuk kaki-kaki merokok berhenti merokok. Sapa kata tak boleh... Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Jadi kalau dari jam 5.43 pg sampai 7.24 mlm boleh tahan, takkan untuk masa-masa seterusnya tak boleh tahan.... Jadi terpulanglah kepada individu itu sendiri sama ada nak berhenti ataupun tidak. Tak nak berhenti pun takpe, sekurang-kurangnya boleh juga menjana ekonomi negara.
Fikir-fikirkan...